Ditulis Oleh : Zulhafidz Yahaya, iMuslim
Bagaimana menjemput Rahmah dan Sakinah dalam keluarga?
Telah berkata Hukama', menjemput Rahmah dan Sakinah salah satunya adalah bacaan Al-Quran. Bagaimana nak diselimuti oleh ketenangan dan kebahagiaan dalam rumahtangga andai tiadanya bacaan Al-Quran bersama suami isteri dan anak-anak atau tiada bacaan alquran di dalam rumah oleh penghuninya?
Mulakanlah dengan pencarian rahmah dan sakinah kepada diri sendiri, inshaaAllah datangnya rahmah dan sakinah itu menjadi tempias pula untuk keluarga.
Ayah yang pandai & selalu membaca Al-Quran dan sering memperdengarkan kepada anak dan isterinya, inshaaAllah mereka juga akan pandai membaca Al-Quran. InshaaAllah usaha ayah akan mendapat jariah pahala yang berpanjangan daripada zuriat dan tanggungannya.
Kasih sayang adalah daripada Allah SWT, bagaimana mahu berkasih dan sayang sekiranya kita tidak menjemput dan mendampingi pemilik kasih dan sayang yang mutlak?
Kita telah alpa, dan dialpakan, sejak kecil lagi. Masa itu emas namun masa kita sering kali dicuri dengan perkara-perakra yang tidak berfaedah, contohnya ketika menonton TV, kita sanggup buang 15 minit menonton iklan yang hampir sama setiap hari, sehingga kadang-kala itu, kita tidak sengaja telah menghafal iklan tersebut. Syaitan telah berputus asa dari menghasut kita dalam kealpaan yang besar-besar seperti yang telah dinyatakan dalam khutbah terakhir Rasulullah Saw.
Cuba bayangkan waktu kita yang tercuri itu, kita gunakan untuk melihat, membaca dan memahami Al-Quran, tidakkkah ia akan membuatkan kita "tidak tersengaja" lalu menghafal Al-Quran dan mengamalkannya?
Semoga kelak kita tidak menyesal di hadapan Allah SWT kerana telah menghabiskan nyawa kita (dimana masa adalah bersamaan dengan nyawa) pada perkara yang kita tidak berfaedah dan memberi manfaat dan makna dalam kehidupan kita. Ingatlah bahawa akan ada ramai manusia yang mahu kembali ke dunia walau sesaat untuk berbuat kebaikan setelah melihat timbangan amalan dan balasan azab yang dahsyat. Janganlah kita menjadi salah seorang daripada mereka nescaya kita akan tergolong dalam golongan orang yang rugi. Mulakanlah sekarang, tidak pernah terlambat selagi kita masih bernyawa.
Peluang itu akan sentiasa wujud sekiranya kita sentiasa mencuba. Maka untuk mendapatkan peluang maka teruskanlah mencuba, kerana kita tidak tahu bila peluang itu akan membuahkan hasil. Dan dalam konteks ini perubahan ke arash yang lebih baik. Sekiranya kita tidak pernah cuba untuk berubah maka sampai bila pun peluang untuk kita berubah itu tidak akan ada. Peluang perlu dicari bukan dinanti.
Imam Al-Qurtubi dalam Jamiu'l Bayan jilid pertama yang memperkatakan tentang taqwa, membawakan bicaranya Ibnu Mas'ud yang berkata-kata dengan anak buahnya tentang jadilah hati-hati orang yang bertaubat dan bertaqwa untuk tidak kerugian di dunia dan akhirat. Kerana mereka yang sentiasa bertaubat dan bertaqwa kepada Allah SWT tidak pernah berada dalam kerugian kerana mereka sentiasa memperbaiki diri mereka untuk menjadi hamba yang lebih baik.
Ramai dalam kalangan kita yang tahu tentang ayat "kuntum khaira ummatin" - yakni ayat tentang kita selaku umat terbaik, tetapi baikkah kita andai kita tidak usaha untuk memperbaiki diri kita setiap hari? Contohnya perkara asas seperti memperbaiki kualiti solat, memperbaiki bacaan Al-Fatihah, memperbaiki ilmu agama.
Bagaimana kita hendak melahirkan generasi ummah yang terbaik andai kita tidak mula dari sekarang dengan memperbaiki diri sendiri? Bagaimana kita hendak memperbetulkan zuriat kita andai kita tidak memperbetulkan diri kita sendiri sebelum mengadap Allah SWT?
Janganlah kita sambil lewa melalui kehidupan dunia ini tanpa merujuk kepada sumber panduan perjalanan hidup yakni Al-Quran dan Sunnah. Ingatlah dalam setiap produk yang kita beli, kita sering kali dibekalkan dengan manual penggunaan produk tersebut. Dan selaku produk ciptaan Allah SWT, Al-Quran dan Sunnah itu merupakan manual penggunaan untuk menjalani kehidupan kita. InshaAllah kehidupan kita akan menjadi lebih mudah sekiranya kita benar-benar mengetahui cara yang tepat untuk kendalikan hidup ini. Istiqamahlah dalam mengislahkan diri dalam menuju Allah swt.
Kehidupan kita selaku manusia merupakan satu perjalanan sehala iaitu menuju jalan kematian, barzakh, kiamat dan akhirat. tiada ruang lain. Walau jalan mana sekalipun kita ambil, akhirnya kita akan menuju ke destinasi yang sama. Apa yang membezakan kita adalah melalui pintu mana kita akan sampai ke destinasi itu dan bagaimanakah perjalanan yang kita lalui.
Ingatlah hanya pilihan yang terbaik, dan yang mengikuti panduanlah yang dapat mengetemukan kita dengan Allah SWT kelak di dalam syurga dengan diredhaiNya dari dunia hingga ke akhirat. InshaaAllah.
*Saudara Zulhafidz merupakan seorang pereka grafik di iMuslim dan juga pereka grafik bebas. Beliau juga merupakan penyumbang artikel untuk laman web www.imuslim.my. Beliau terilabat dalam kerja-kerja dakwah secara kreatif dan bebas dan antara program dakwah beliau adalah Streetfoto & Streetdawah anjuran iMuslim.*
Untuk maklumat lanjut mengenai kelas tafseer yang dimaksudkan sila layari www.imuslim.my
No comments:
Post a Comment