Seperti mana yang kita tahu terdapat empat perkara yang ditentukan ketika mana kita berada di alam Rahim dan empat perkara itu adalah seperti berikut:-
1. Rezeki
2. Ajal
3. Umur
4. Jodoh
Walaupun empat perkara ini telah pun ditentukan oleh Allah SWT, itu tidak bermakna kita harus pasrah. Adalah menjadi wajib bagi kita untuk usaha, doa dan tawakal kepada Allah SWT. Dalam dalam usaha kita untuk mencapai yang terbaik, haruslah kita faham bahawa usaha yang kita lakukan itu hasilnya ditentukan oleh Allah SWT.
Allah SWT memberi rezeki kepada kita selaras dengan tanggungjawab yang kita galas dan bakal laksanakan. Dalam erti kata lain makin banyak tanggungjawab yang kita pikul makin banyak rezeki yang akan Allah SWT kurniakan kepada kita (insyaAllah).
Laksanakan Tanggungjawab Dahulu
Maka sekiranya kita mahu rezeki kita bertambah, haruslah kita melaksanakan tanggungjawab kita dengan lebih sempurna dahulu. Tanggungjawab yang paling utama perlu kita laksakan adalah tanggungjawab kita terhadap Allah SWT. Pada haknya tugas manusia di atas muka bumi ini adalah:-
1. Hamba Allah
Secara haknya tugas kita di muka bumi ini adalah seperti mahkluk-mahkluk lain iaitu untuk sentiasa beibadah kepada Allah SWT. Sentiasa memuji-muji dan menyebut nama Allah. Sentiasa mengingati Allah. Apabila kita menjaga hak kita dengan Allah maka Allah akan menjaga hak kita dengan mahkluk-mahklukNya yang lain.
2. Khalifah
Dalam masa yang sama juga Allah SWT menurunkan manusia atas muka bumi ini untuk kita menjadi Khalifah. Sebagai khalifah, tugas kita adalah untuk mentadbir bumi ini, memberi/menyampaikan rahmat Allah yang Allah telah kurniakan kepada kita. Kita hendaklah sentiasa memberi kebaikkan kepada mahkluk-mahkluk Allah yang lain.
"Rezeki yang dicari itu baik, akan tetapi rezeki yang ditemui adalah lebih baik". Rezeki yang kita cari memang baik. Namun haruslah kita faham disini bahawasanya rezeki itu telah ditentukan oleh Allah. Maka, kalau kita mahukan sesuatu rezeki akan tetapi usaha kita itu gagal dan rezeki lain yang kita temui, bersyukurlah kerana yang ditemui itu adalah lebih baik kerana itu adalah kehendak Allah.
Jodoh & Tanggungjawab
Jodoh itu adalah ketentuan Allah SWT. Manusia itu dicipta Allah berpasang-pasangan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Dalam usaha menempuh kehidupan ini Allah menciptakan pasangan kepada kita. Maka sampai satu masa apabila tanggungjawab kita sudah meningkat ke satu tahap, kita memerlukan pasangan untuk bersama kita, memberi sokongan kepada kita dalam usaha untuk melaksanakan tangunggjawab yang telah diberi.
Apabila kita berkinginkan jodoh, berhajat mahu kahwin, muhasabah diri terlebih dahulu. Adakah kita sudah sempurnakan tanggungjawab-tanggungjawab asas yang kita perlukan. Kerana haruslah kita ingat tanggungjawab kita akan bertambah dari semasa ke semasa. Apabila kita telah temu jodoh kita tanggungjawab kita akan bertambah berkali-kali ganda lagi. Maka adalah penting untuk kita membuat persediaan terlebih dahulu. Persediaan itu boleh dilihat dalam banyak aspek. Aspek-aspek ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam lagi dalam entri-entri yang lain.
Apa guna kalau kita mahu kahwin tetapi kita tidak meletakkan usaha dan melakukan persediaan terhadap hajat kita itu. Adalah lebih baik jika kita lupakan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment