Namun harus kita ingat disini bahawasanya Islam ada meletakkan panduan bagaimana mahu mencari pasangan hidup. Sudah tentu kita akan merujuk kepada hadis yang sangat mashur yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari & Muslim iaitu 4 kriteria yang dicari dalam seorang wanita adalah:-
1. Harta
2. Rupa
3. Keturunan/Darjat
4. Agama
Dan antara empat kriteria yang tersebut sudah tentu agama menjadi kriteria utama dan yang terbaik. Namun ada yang akan berhujah:-
"Wanita sekarang pandai berlakon, nampak ja pakai tudung tapi macam-macam yang dibuat. Macam mana?"
"We don't judge a book by its cover, jangan ingat orang yang tak pakai tudung agama dia tak bagus"
Maka persoalan yang timbul adalah apakah kaedah yang perlu dilakukan untuk mencari yang baik agamanya itu? Dalam entri kali ini berpandukan syarahan Ustaz Pharol Md Juoi, terdapat tiga langkah mudah yang boleh dilakukan. Tiga langkah tersebut adalah.
1. Jadilah orang yang soleh/solehah dahulu.
2. Ikut pilihan orang yang soleh/solehah.
3. Ikut kaedah-kaedah yang baik.
Jadilah orang soleh/solehah
Untuk mendapatkan yang soleh/soleh adalah penting untuk kita terlebih dahulu menjadi seperti yang kita mahu. "Jadilah bukan carilah", "Be the change that you want to be". Seperti mana yang telah difirmankan Allah dalam surah An-Nur 24:26 "...lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik...."
Persoalan yang timbul kini apakah yang membuatkan seseorang itu 'baik'? Sebab zaman kini kita dapat lihat menyimpan janggut, memakai serban, memakai jubah, sembahyang di masjid 24jam, tapi ada sahaja yang pukul isteri, ada yang buat maksiat, dan macam-macam lagi.
Baik bukanlah satu destinasi, tapi merupakan satu perjalanan. Selagi mana kita berusaha untuk menjadi baik insyaAllah itu yang dikatakan baik. Haruslah kita ingat melakukan perkara yang baik bukannya kayu ukur seseorang itu baik. Ia cuma kayu ukur yang menyatakan seseoorang itu berusaha untuk menjadi baik. Maka sentiasalah kita berusaha.
Allah yang memiliki hati kita, Allah mempunyai kuasa untuk membolak-balikkan hati kita. Sentiasalah kita memohon kepada Allah untuk menetapkan hati kita. Seperti mana Allah telah berfirman dalam Surah Al-Imran 3:8
"(Mereka berdoa dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya."
Maka sebab itulah kita katakan bahawasanya 'baik' itu merupakan satu proses kerana apabila kita fikir kita sudah baik Allah pada bila-bila masa boleh membolak-balikkan hati manusia dan dalam sekelip mata sahaja kita boleh terjerumus dalam lembah kejahatan.
Usahlah kita risau bila kita akan jadi baik yang penting, kita terus berusaha untuk mencapai kebaikkan kerana apabila kita berusaha untuk jadi baik dari hari ke hari insyaAllah kitalah yang terbaik. Ingat kepada sunnatullah iaitu kebaikkan akan menarik perkara yang baik kepada kita.
Orang yang cantik tak semestinya baik, akan tetapi orang yang baik akan sentiasa menjadi cantik. "Baik dan cantik itu bukanlah apa yang dipandang akan tetapi bagaimana kita memandangnya". Kerana setiap pandangan itu punya banyak sisi dan perspektif. Kalau apa yang kita lihat itu tidak cantik, tidak baik, ubahlah perspektif kita maka insyaAllah kita akan dapat lihat apa yang lebih baik dan apa yang lebih cantik.
"Apa yang kita lihat adalah apa yang kita dapat" maka sentiasalah kita melihat kepada kebaikkan kerana nescaya kita kan mendapat kebaikkan. Janganlah kita mengikut jejak langkah syaitan yang mana tugasnya hanyalah menyesatkan anak Adam.
Apa yang kita lihat, apa yang kita rasa dalam hati dan apa yang kita fikir itu adalah saling berhubung kait. Kita selalu dengar orang mengatakan "seeing is believing" akan tetapi dalam Islam "believing is seeing". Kita lihat apa yang kita percaya. Kerana dalam kehidupan ini tidak semua perkara yang dapat kita buktikan melaui logik akal fikiran. Termasuk apa yang kita lihat. Percayalah kepada kebaikkan maka kebaikkan itu akan lahir dalam hati, akan sentiasa lekat difikiran dan insyaAllah akan diterjemahkan dalam apa yang kita lihat. Seperti yang saya katakan tadi ada banyak sudut pandang terhadap sesuatu perkara itu. Maka lihatlah pada yang baik.
Ikut pilihan orang yang baik (Orang yang beriman).
Dalam satu hadis yang maksudnya adalah seperti berikut:-
"tidak sempurna iman seseorang itu selagi kamu tidak menyayangi saudara kamu seperti mana kamu menyayangi diri kamu sendiri" - Riwayat Bukhari
Kita umat Islam diajarkan untuk memberikan yang terbaik buat diri kita dan juga saudara seIslam kita. Keperibadian seperti ini dapat kita lihat dalam peristiwa hijrah ketika mana kaum muhajirin dan ansar. Kaum ansar berkongsi dengan kaum muhajirin dan mereka memberikan yang terbaik. Bahagi harta, bagi isteri, bagi tempat tinggal dan macam-macam lagi. Seperti mana yang dipraktikan oleh para sahabat, seperti itu jugaklah kita disuruh praktikan.
Sebab itu kaedah yang kedua kita boleh lakukan dalam usaha hendak mencari jodoh yang baik adalah mengikut pilihan orang yang baik. Kerana orang yang baik adalah orang yang melaksanakan islam seperti mana yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat.
Orang yang baik dalam konteks perbincangan kita ini merujuk kepada para Imam, para sheikh, ibu bapa yang taat pada perintah Allah. Maka ingatlah, jika kita menjadi orang yang baik insyaAllah kita akan dikelilingi dengan orang yang baik. Hanya orang yang baik dapat mengenali orang baik yang lain.
Maka untuk melaksanakan kaedah yang kedua ini perlulah kita melaksanakan kaedah yang pertama iaitu menjadi orang yang baik dan soleh serta solehah.
Ikut cara (kaedah) yang baik.
Kaedah yang baik itu dapat diukur dengan melihat kepada beberapa aspek dan antaranya adalah Akidah, Syariat , Akhlak. Selagi mana kaedah itu tidak bercanggah dengan akidah, syariat dan akhlak maka insyaAllah kaedah itu adalah kaedah yang baik.
Kaedah yang baik bukan hanya berpandu kepada logik akal dan adat sahaja. Sekiranya logik akal dan adat itu bercanggah dengan akidah, syariat atau akhlak, perlulah kita meninggalkan perkara-perkara tersebut. Antara kaedah baik yang dicadangkan oleh Ustaz Pharol adalah seperti berikut:-
1. Menggunakan orang tengah untuk mendapatkan maklumat lanjut (merisik)
2. Menunaikan solat Istiqarah.
3. Melaksanakan Istiharah
4. Wali sendiri yang mencarikan jodoh
5. Menawarkan diri kepada orang yang baik
Kesimpulan.
Berdasarkan apa yang telah dibincangkan, maka dapatlah saya simpulkan disini untuk mencari jodoh/pasangan yang baik perkara utama yang perlu dilakukan ialah menjaga Hubungan Dengan Allah (HDA). Kerana apabila kita menjaga hubungan dengan Allah, Allah akan menjaga hubungan kita dengan manusia.
Apabila Allah menjaga hubungan kita dengan manusia, insyaAllah kita akan punya hubungan yang baik sesama manusia dan insyaAllah kita kan menjadi orang yang baik.
Orang yang baik akan bersama dengan komuniti yang baik. Apabila kita berada dalam komuniti yang baik dikelilingi dengan orang-orang yang baik insyaAllah menjadi mudah kepad kita untuk mengikut apa yang dipraktikan oleh orang-orang yang baik.
Institusi masyarakat Islam itu bermula dengan individu, individu yang baik akan melahirkan keluarga yang baik. Keluarga-keluarga yang baik akan menghasilkan masyarakat yang baik. Dan masyarakat-masyarakat yang baik akan menghasilakan negara yang baik.
Untuk menjadi individu yang baik HDA itu penting. Pada dasarnya jagalah hubungan kita dengan Allah. InsyaAllah segala urusan kita akan dipermudahkan.
No comments:
Post a Comment