Keputusan Pilihanraya Umum ke-14 telah pun diumumkan. Rata-rata sentimen di seluruh Malaysia menyambut baik dengan keputusan PRU14 ini. Hasil daripada keputusan ini juga, Malaysia telah menyaksikan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.
Keputusan PRU14 ini tidaklah sempurna. Masih terdapat banyak persoalan yang perlu di jawab oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan dengan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan. Namun apa yang penting buat masa ini adalah rakyat Malaysia perlu memberi tumpuan dalam membina semula negara ini.
Sentimen di jalanan menampakkan pasca 9 May 2018 ini seperti Malaysia Merdeka buat kali yang kedua. Kemerdekaan ini membuktikan bahawa politik perkauman, politik benci, politik fitnah gagal mengambil tempat dalam usaha membina negara bangsa. Rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa kita mampu bersatu untuk menolak semua nilai-nilai negatif ini.
Dalam beberapa penggal pilihanraya yang lalu, saya pasti kita tidaklah begitu teruja untuk menyaksikan upacara mengangkat sumpah Perdana Menteri. Rakyat lebih berminat untuk mengetahui sipakah barisan Menteri kabinet. Namun buat PRU14, ternyata berbeza.
Walaupun bukan kita (rakyat Malaysia) yang akan mengangkat sumpah, tetapi “sense of attachment” itu sangat tinggi dalam diri kita. Kita dapat lihat bagaimana dua hari (9 & 10 Mei) berturut-turut talian Dominos Pizza sama ada telefon mahupun internet tergendala! Kita dapat lihat bagaimana rakyat Malaysia, tanpa dibayar, tanpa diberi makanan percuma, tanpa dibawa dengan bas catar, tanpa disuruh, berkumpul di sepanjang jalan menuju ke Istana Negara untuk menyambut Perdana Menteri Malaysia yang ke-7.
Pasca PRU14 juga melihatkan rakyat Malaysia begitu gemibra, senyum antara satu sama lain dan bertegur sapa tanpa mengira agama, bangsa mahupun kenal atau tidak. Kegembiraan ini umpama jangkitan yang tidak dapat diubat lagi.
Dalam saat-saat yang genting ini, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk terus menyebarkan jangkitan virus kegembiraan ini keseluruh pelusuk tanah air. Ingatlah masa untuk berkempen sudahpun tamat. Masa yang ada kini kita bangunkan negara dengan sebaiknya.
Hormatilah keputusan pihak yang lain juga, kerana mereka juga menang. Mereka juga punya suara dan agenda. Jangan kita biarkan politik memecahkan kita. Pada saya, kuasa sebenar PRU14 kali ini adalah kuasa rakyat. Siapa pun yang menjadi kerajaan, kita selaku rakyat Malaysia ambil tanggungjawab untuk memastikan kerajaan kita laksanakan amanah yang telah diberikan.
BERSATUlah untuk Malaysia, kerana HARAPAN baru ini jangan kita sia-siakan. Kita raikan suasana DEMOKRASI ini dengan aman. Kepada para pemimpin rakyat, AMANAH yang diberi jangan dipersia. Tadbirlah negara ini dengan KEADILAN.
Selamat Membina Negara!
No comments:
Post a Comment